Covid-19: Belum ada jangkitan babitkan pengangkutan awam dalam gelombang ketiga

Covid-19: Belum ada jangkitan babitkan pengangkutan awam dalam gelombang ketiga

BELUM ada jangkitan membabitkan pengangkutan awam dalam gelombang ketiga Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau bagaimanapun, menasihatkan orang ramai tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di tempat sesak bagi mengelak daripada dijangkiti.

“Kes jangkitan Covid-19 membabitkan pengangkutan pernah berlaku ketika gelombang kedua iaitu kluster PUI Melbourne yang dijangkiti ketika berada dalam kapal terbang.

“Jadi kemungkinan itu boleh berlaku dan sebab itu perlu patuh SOP apabila berada di tempat sesak atau sempit kerana jangkitan boleh terjadi.

“Langkah pencegahan amat penting bagi mengelak mereka dan keluarga dijangkiti,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, ketika gelombang kedua Covid-19, seorang penuntut warganegara Malaysia iaitu kes ke-8,749 yang pulang dari Australia didapati positif Covid-19.

Penuntut terbabit dilaporkan menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching sebelum dikuarantin sebaik tiba. Ujian saringan mendapati dia positif Covid-19 pada 17 Julai lalu.-Malaysiapost

Komen