Ebit Lew bawa 200kg daging segar untuk haiwan di Zoo Negara

Ebit Lew bawa 200kg daging segar untuk haiwan di Zoo Negara

PRIHATIN dengan isu kekurangan dana Zoo Negara untuk terus beroperasi, pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini membawa 200 kilogram (kg) daging segar untuk ‘menjamu’ haiwan-haiwan di taman tersebut.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Ebit berkata beliau berbuat demikian selepas mendapat maklumat berhubung permintaan dari Zoo Negara yang kekurangan dana akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Balik dari Kelantan semalam pagi ini terus saya ke zoo negara bersama bawa 200kg daging segar.

“Kami juga fikir bagaimana nak bantu dana dan beberapa cadangan lain supaya Zoo Negara terus maju ke depan. Hari ini saya bawa 200kg daging,” katanya.

Ebit juga berkongsi pengalamannya memberi makan kepada dua anak panda yang disifatkannya comel seperti anak kucing.

“Comel kecil sangat anak panda macam anak kucing je (saja). Panda makan buluh tertentu sahaja. Kuat tangannya. Bila kita hulur buluh pada panda, ia tarik kuat betul.

“Main tarik-tarik tadi. Panda suka buluh dan pilih daun-daun sedap dan lipat tebal-tebal makan,” katanya.

Beliau juga menyatakan rasa tidak sabar untuk Zoo Negara kembali dibuka kerana mahu membawa anak-anak yang telah lama tidak berjalan-jalan kerana duduk di rumah sahaja berikutan penularan Covid-19.

“Semoga dimudahkan semuanya. Doakan ye buat zoo negara. Kagum tengok makhluk Allah. Semua ada pelajaran di sebaliknya,” katanya. – Malaysiapost

Komen