Hasrat PM PRU lepas Covid-19 tepat – Tok Mat

Hasrat PM PRU lepas Covid-19 tepat – Tok Mat

HASRAT Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebaik sahaja penularan Covid-19 berakhir adalah tepat, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin perlu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat menerusi PRU.

“Majoriti tipis yang ada pada kerajaan PN sekarang menyebabkan ia sering dipersoal dan keadaan itu tidak berapa baik.

“Oleh itu, mandat baharu daripada rakyat itu penting kerana rakyat mahu lihat supaya kerajaan mesti kerajaan yang mempunyai mandat yang kuat.

“Rakyat sedar, kerajaan dengan majoriti yang tipis tidak akan mendatangkan kebaikan, justeru hasrat dinyatakan Perdana Menteri itu sesuatu yang baik, bagi saya baik kerana untuk mendapat mandat daripada rakyat, bukan atas desakan mana-mana pihak,” katanya seperti dilapor BH.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, kerajaan berhasrat mengadakan PRU15 sebaik sahaja penularan pandemik Covid-19 di negara ini berakhir.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya akan menyerahkan semula mandat kepada rakyat bila tiba masanya untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Mohamad enggan mengulas ketika ditanya pandangannya mengenai isu jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dituntut pemimpin Umno.

“Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) memberikan penjelasan dan kenyataan, cukuplah,” katanya. – Malaysiapost

Komen