Jika tidak seperti dikatakan, saya juga ‘dikencing’ – Najib

Jika tidak seperti dikatakan, saya juga ‘dikencing’ – Najib

Muhammad Mustakim Ramli

JIKA tidak seperti dikatakan Menteri Kewangan, bukan sahaja rakyat, saya juga turut ‘dikencing’, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau memahami rakyat kini mula marah, takut atau tengah gelisah dengan lanjutan moratorium dan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jika pelaksanaan lanjutan moratorim pinjaman dan pengeluaran KWSP akhirnya bukan yang dikatakan Menteri Kewangan pada hari Khamis lalu maka, kerajaan PN (Perikatan Nasional) bukan sahaja kencingkan rakyat, tetapi turut kencingkan saya dan BN (Barisan Nasional) juga.

“Tapi kita beri mereka tempoh masa yang munasabah untuk lakukan atau perbetulkan mengikut janji mereka.

“Rakyat perlu tahu bahawa semua keputusan berkait kewangan dan ekonomi ada pada kerajaan PN,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi hantaran di Facebook itu juga, Najib berkata, jawatan penting dalam kerajaan ketika ini dipegang oleh ‘mereka’ tanpa merujuk nama mana-mana parti.

“PM (Perdana Menteri), menteri kanan paling kanan, menteri kewangan dan menteri ekonomi dipegang mereka juga.

“Tiada seorang pun dari BN, PAS atau mana-mana parti lain yang mempunyai peranan berhubung hal ekonomi dan kewangan dalam kerajaan PN.

“Ini termasuk Majlis Tindakan Ekonomi yang dibentuk kerajaan PN bulan Mac lalu di mana tiada pun seorang ahli adalah dari parti BN, PAS atau mana-mana parti lain,” katanya.

Beliau mendakwa kerana itu BN memainkan peranan melalui perbahasan dalam Dewan Rakyat untuk memastikan bajet negara adalah selari dengan kehendak dan keperluan rakyat.-Malaysiapost

Komen