Kenyataan media keruhkan hubungan antara parti – Pemuda Amanah

Kenyataan media keruhkan hubungan antara parti – Pemuda Amanah

Muhammad Mustakim Ramli

PEMUDA Amanah Nasional menggesa sayap parti itu di setiap peringkat bertenang dan menghormati pendirian kepimpinan parti dan rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

Setiausahanya, Khairol Najib Hashim berkata, kenyataan media yang dikeluarkan mereka akan mengeruhkan lagi hubungan antara parti dan perlu dihentikan serta merta.

Katanya, kekeliruan yang timbul dalam kalangan Pemuda Amanah perlu terus dirujuk kepada Pengurusan Pemuda parti.

“Selain mengambil bahagian dalam aktiviti politik, kita juga mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

“Kita berperanan memberikan penerangan mengenai isu semasa agar rakyat mendapat maklumat yang betul dan tidak terpedaya dengan propaganda yang dimainkan Perikatan Nasional (PN), khususnya pasca Belanjawan 2021,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pemuda Amanah juga bertanggungjawab membantu masyarakat yang terkesan dengan bencana dan pandemik Covid-19.

“Bagi memperkemaskan semula saf kepimpinan Pemuda PH, kami menyeru pucuk pimpinan segera menyelesaikan perkara berbangkit melalui musyawarah, sekali gus membina persefahaman bersama dalam memperkukuhkan PH,” katanya.

Terdahulu, beberapa pimpinan DAP, PKR dan Amanah saling berbalas kenyataan susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ahli Parlimen daripada PKR dan DAP untuk tidak melakukan pengundian belah bahagi ketika bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Khamis lalu.

Terdapat desakan termasuk kata dua kepada pemimpin DAP supaya memutuskan hubungan dengan PKR dan membubarkan PH sekiranya Ketua Pembangkang itu masih menganggap keputusannya adalah tepat. – Malaysiapost

Komen