MIDA sasar bawa masuk pelaburan RM75.4 bilion

MIDA sasar bawa masuk pelaburan RM75.4 bilion

[PARLIMEN] SEBANYAK 23 projek berprofil tinggi berpotensi dengan nilai pelaburan RM75.4 bilion dikenal pasti untuk dibawa masuk ke Malaysia, tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong, berkata ia membabitkan sektor perkilangan dan perkhidmatan dari pelbagai negara.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang menilai 786 projek pelaburan bernilai RM35.8 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan setakat 31 Oktober lalu, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) untuk kelulusan.

“MIDA akan terus berusaha membawa masuk kadar pelaburan tinggi seperti sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berkaitan unjuran pelaburan luar negara secara langsung (FDI) bagi 2021.

Ban Hong berkata, pelaburan bernilai RM109.8 bilion diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama antara Januari hingga September lalu.

“Sektor perkilangan adalah penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan diluluskan iaitu RM65.3 bilion, diikuti perkhidmatan (RM42.8 bilion) dan sektor utama (RM1.7 bilion).

“Daripada jumlah ini, FDI menyumbang 38.8 peratus bernilai RM42.6 bilion dan selebihnya RM67.2 bilion (61.2 peratus) adalah pelaburan tempatan.

“Pelaburan diluluskan dalam tempoh ini membabitkan 2,935 projek dan dijangka dapat mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen