Penjualan aset TH Plantation, Pemuda Umno serah memorandum bantahan

Penjualan aset TH Plantation, Pemuda Umno serah memorandum bantahan

PEMUDA Umno hari ini menyerahkan Memorandum Membantah Penjualan Aset Tabung Haji Plantation (THP) kepada tiga menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tiga menteri tersebut ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkfli Mohamad Al-Bakri.

Memorandum itu diserahkan oleh Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Hasmuni Hassan dan beberapa Exco di bangunan Parlimen.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penyerahan itu sebagai usaha dan jalan terakhir bagi menghentikan penjualan aset ladang THP.

Katanya, sejak zaman PH lagi, Pemuda Umno membuat pendedahan termasuk pada 24 Januari 2020 setelah dapati proses penjualan saham bernilai RM170 juta untuk dua anak syarikat THP mencetus banyak keraguan dan persoalan.

Dua syarikat itu ialah Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada syarikat swasta Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco),

“Sehingga kini, penjelasan THP mengenai penukaran jurunilai professional bagi THP, penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh jurunilai yang baharu serta harga jualan jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta masih tidak memuaskan.

“Walaupun kerajaan telah mengarahkan THP menggunakan khidmat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk membuat penilaian, THP didapati telah menulis tiga kali kepada JPPH bagi merayu menurunkan nilai kedua-dua syarikat berkenaan bagi menjustifikasi harga jualan RM170 juta kepada Tamaco.

“Adalah amat mengecewakan apabila TH Plantations masih berkeras mahu meneruskan agenda kerajaan PH lalu untuk menjual 76.2 peratus daripada jumlah keluasan aset ladang 101,019 hektar,” katanya menerusi kenyataan.

Asyraf Wajdi berkata, dalam memorandum itu, Pemuda Umno mendesak agar kerajaan campur tangan bagi membatalkan serta-merta keputusan penjualan itu atas beberapa alasan antaranya:

(i) Aset-aset tanah ladang kelapa sawit THP adalah bernilai tinggi dan mempunyai potensi untuk dimajukan kelak.

(ii) Harga Minyak Sawit Mentah (“CPO”) kini di paras tinggi iaitu purata melebihi RM3,000 bagi satu tan.

(iii) Harga Buah Tandan Segar Sawit (“FFB”) juga kini berada di paras tinggi iaitu purata melebihi RM700 bagi satu tan; dan

(iv) Laporan Suku Ketiga Tahun Kewangan (3QFY2020) THP mencatatkan keuntungan sebanyak RM23.86 juta berbanding kerugian sebanyak RM40.01 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (2019).

Justeru katanya, Pemuda Umno melalui Memorandum itu mendesak kerajaan segera campur tangan menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP, agar kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit TH dapat dijaga dan dipertahankan.

“Pemuda Umno juga tidak berganjak dengan pendirian kami agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan sebarang salah laku dalam Tabung Haji yang sering dibangkitkan sejak zaman PH,” katanya. – Malaysiapost

Komen