Usul undi percaya terhadap MB Perak bukan luar tabii – speaker

Usul undi percaya terhadap MB Perak bukan luar tabii – speaker

USUL undi percaya yang akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bukan perkara janggal.

Perkara itu dinyatakan Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menyifatkan ia menepati syarat dan tidak melanggar peraturan dewan, lapor Berita Harian.

“Ini memang ada (undi percaya), di negara ini kalau kita lihat dalam Dewan Rakyat pernah ada usul undi percaya, malah mengikut amalan Dewan Negara-Negara Komanwel undi percaya pernah juga dibawa kepada seorang Perdana Menteri di luar negara.

“Jadi, ini bukan satu inovasi baharu dan ini bukan satu kejanggalan di luar tabii,” katanya kepada media sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Yang Ke-14 di Bilik Sidang Media Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Mohammad Zahir berkata, usul undi percaya itu perlu diterima kerana ia menepati syarat dan pihaknya tidak nampak kenapa ia perlu ditolak, malah beliau memberi jaminan akan bersikap ‘independent’ dan adil.

“Dalam keadaan ini, kita di peringkat Speaker dan dewan akan menerima apabila usul itu cukup notis dan mematuhi syarat,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) membawa usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal pada persidangan DUN, 4 Disember ini.

Menerusi surat bertarikh 18 November, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim menyatakan Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang daripada Bersatu mempunyai keyakinan majoriti Ahli Yang Berhormat DUN.

Justeru, beliau memohon membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26(1) dibaca bersama Perintah Tetap 27(3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Persidangan DUN Perak akan berlangsung Jumaat ini hingga 11 Disember. – Malaysiapost

Komen