Video dikait menteri kanan: Siasat, dakwa tanpa pilih kasih – Nazri Aziz

Video dikait menteri kanan: Siasat, dakwa tanpa pilih kasih – Nazri Aziz

Fitri Nizam

[PARLIMEN] KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) dinasihat tidak mengamalkan pilih kasih terhadap mana-mana pendakwaan dan penyiasatan, termasuk berkaitan video seks sejenis dikaitkan dengan seorang menteri kanan.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas berkata, jika pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diberi kebebasan sepenuhnya, tidak mustahil kerajaan PN dihukum pada pilihan raya kelak.

Katanya, jika perkara itu berlaku di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) maka ia perlu diubah.

“Inilah perkara yang saya mahu bangkitkan, iaitu apa yang kita janji mesti dikotakan. Rakyat hari ini bukan rakyat yang bodoh, rakyat cerdik. Apa yang kita perlu lakukan, mesti dilakukan.

“Saya minta pihak peguam negara, SPRM, polis jangan ada pendakwaan terpilih dan penyiasatan terpilih, kalau tidak rakyat akan hukum kita dalam PRU15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH- Hang Tuah Jaya) yang bangun mencelah meminta pandangannya berkaitan kes seorang menteri kanan yang terkait dengan video tular seks sejenis yang kini didakwa “ditutup penyiasatannya”.

Pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu, Nazri meminta kerajaan PN tidak mengulangi apa yang dilakukan kerajaan PH, termasuk penyiasatan dan pendakwaan terpilih serta menarik balik pendakwaan yang berjalan di mahkamah.

“Waktu penubuhan kerajaan PN saya mengalu-alukan kenyataan perdana menteri bahawa pelantikan yang dibuat mestilah berasaskan “acid test” kebersihan, iaitu tiada kes melibatkan mereka yang dipilih sebagai menteri dan juga timbalan menteri.

“Kita alu-alukan kenyataan perdana menteri kerana kita melihat kerajaan yang terbentuk hari ini membuat lembaran baharu untuk menjadikan Malaysia bersih.

“Saya harap apa yang dikatakan akan dikotakan. Ia bukan sahaja mesti dilakukan, tetapi dilihat dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen