306 dikompaun, 5 direman ingkar arahan PKP

306 dikompaun, 5 direman ingkar arahan PKP

Nurul Huda Abhar

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 311 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 306 individu dikompaun manakala lima individu lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14).

“PDRM telah membuat 55,495 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Operasi Benteng semalam menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga bot/kapal dan sebuah kenderaan darat.

Tambahnya, sebanyak 273 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, dan Aksem.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen