Belanjawan MPIC lulus undi belah bahagi

Belanjawan MPIC lulus undi belah bahagi

Fitri Nizam

[PARLIMEN] DEWAN Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), dengan undi belah bahagi.

Keputusan itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, selepas diputuskan menerusi undian belah bahagi dengan 108 menyokong manakala 95 tidak menyokong dan 17 tidak hadir.

Undian dilaksanakan selepas lebih 15 Ahli Parlimen pembangkang bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah itu.

MPIC menjadi kementerian ketiga mendapat kelulusan dengan ditentukan menerusi kaedah itu, selain Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan, semalam.

Sebelum undian dijalankan, sesi penggulungan bagi kementerian berkenaan dilakukan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Willie Mongin.

Terdahulu, Azhar memutuskan sidang ditempohkan selama 10 minit lagi, tambahan selepas dua minit loceng pertama dibunyikan bagi membolehkan ruang masa diberi kepada Ahli Parlimen untuk berada di dalam dewan.

Beliau juga memutuskan Bentara Parlimen mengiringi ketua penghitung di setiap blok kerusi parlimen ketika proses undian bagi mengelak kesilapan kiraan undi berulang selain mengarahkan pintu masuk dewan dikunci sebaik undian bermula.

Ketika pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, MPIC diperuntukan RM729.39 juta iaitu RM476.66 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM252.7 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Esok, tiga lagi kementerian menggulung iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – Malaysiapost

Komen