Cuai kira undi, DAP desak Shahbudin digantung

Cuai kira undi, DAP desak Shahbudin digantung

DAP mahu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahya digantung jawatan sebagai Ahli Parlimen susulan kecuaiannya ketika undi belah bahagi di Dewan Rakyat, semalam.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata ini kerana Shahbudin telah mencemar nama baik dan memalukan Parlimen dengan mencabuli Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi, Shahbudin adalah contoh buruk terkini rejim kakistokrasi, di mana mereka yang tidak berkelayakan memimpin negara.

“Sama ada beliau tidak memahami bahasa mudah Peraturan Mesyuarat, atau cuai dan tidak cermat dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sebagai Penghitung Undi semasa belah bahagi diadakan.

“Kedua-duanya menimbulkan persoalan terhadap kelayakan beliau untuk menjadi Ahli Parlimen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kit Siang turut menyertakan Peraturan Mesyuarat 47(1) yang mengatakan:

“Apabila belahbahagian telah diperintahkan, maka Penghitung undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana hendak diundinya. Setiausaha hendaklah memasukkan undi masing-masing ahli itu dan nama ahli-ahli yang tidak mengundi dalam buku Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat.”

Mengulas lanjut, katanya, pelajar sekolah yang mempunyai kecerdasan dan boleh membaca pastinya boleh memahami tanggungjawab yang diberikan kepada penghitung undi.

“Tetapi, jelas sekali yang Shahbudin tidak memahami tugasnya ini.

“Shahbudin patut digugurkan serta-merta daripada tugas menghitung undi ini dan beliau perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat untuk menggantung kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Terdahulu hari ini, Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon memperbetul jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan semalam, yang sepatutnya 106, bukannya 107.

Menurut beliau, kesilapan berlaku apabila Shahbudin menandakan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) turut menyokong RUU itu walaupun tiada di dalam dewan ketika undian dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya mendapat makluman kesilapan itu daripada Shahbudin sendiri yang menjadi jurukira undi blok C bagi undi belah bahagi. – Malaysiapost

Komen