Dewan Rakyat panas isu 106 bukan 107

Dewan Rakyat panas isu 106 bukan 107

Fitri Nizam

[PARLIMEN] TINDAKAN Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon memperbetulkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, semalam adalah 106 dan bukannya 107 mencetuskan perdebatan hangat, hari ini.

Menurut beliau, kesilapan berlaku apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahya menandakan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Renggas) turut menyokong RUU itu walaupun tiada di dalam Dewan Rakyat ketika undian dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya mendapat makluman kesilapan itu daripada Shahbudin sendiri yang menjadi jurukira undi blok C bagi undi belah bahagi.

“Oleh itu saya meminta keputusan belah bahagi anggaran perbelanjaan Kementerian Kewangan ditukar kepada 18 tidak hadir kepada 19 dan 107 ahli setuju, kurang satu akan jadi 106, manakala, 95 ahli kekal tidak setuju.

“Dengan itu, saya memerintahkan setiausaha untuk betulkan bilangan undi tersebut. Dengan perubahan undi tersebut ia tidak menjejaskan keputusan belah bahagi tersebut,” katanya.

Rashid berkata demikian ketika membaca kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Dengan pemakluman itu, Dewan Rakyat terhenti hampir 30 minit apabila Ahli Parlimen pembangkang bangun untuk mendapatkan penjelasan Timbalan Speaker.

Shahbudin mengakui kesilapannya ketika dibenarkan membuat penjelasan namun sama sekali menafikan beliau cuba menipu Dewan Rakyat dalam sesi undi belah bahagi terbabit.

“Saya tidak ada niat untuk menipu Dewan dan sebagainya. Dan jika itu dianggap sebagai satu kesalahan saya telah memaklumkan dengan ikhlas kepada Speaker.

“Saya tidak menyembunyikan ini dan saya telah memohon maaf kepada Speaker. Terpulanglah kepada Speaker. Tetapi jangan tuduh saya ada niat untuk menipu dan sebagainya,” katanya.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan melalui undian belah bahagi.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen sebelum itu bangun menyokong RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, kementerian kewangan diperuntukkan RM35.1 bilion iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Johor Kini

Komen