Gambar tular tak patuh SOP: Itu fitnah! – Ismail Sabri

Gambar tular tak patuh SOP: Itu fitnah! – Ismail Sabri

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tuduhan
beliau tidak menjaga jarak fizikal pada lawatan rasminya ke Melaka, Sabtu lalu sebagai fitnah.

Beliau berkata, gambar yang ditularkan itu bukan gambaran sebenar sebaliknya diambil dari sisi yang menampakkan tiada penjarakan sosial berlaku ketika pertemuan berkenaan.

“Beberapa gambar menjadi bahan fitnah terhadap saya dan Ketua Menteri Melaka serta Speaker DUN Negeri Melaka sewaktu saya melakukan lawatan kerja ke Melaka Sabtu lepas.

“Kononnya tiada penjarakan sosial antara kami. Yang jahatnya, mereka menunjukkan gambar dari sisi bagi menunjukkan kedudukan kami tanpa penjarakan,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau mendoakan Allah SWT membuka hati mereka yang menabur fitnah berkenaan.

“Semoga Allah membuka hati-hati mereka ini supaya tidak lagi membuat fitnah kepada sesiapa jua selepas ini,” katanya.

Terdahulu, tular gambar Ismail Sabri melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika lawatannya di Melaka baru-baru ini.

Berdasarkan dua gambar yang tular itu, Ismail Sabri dikatakan tidak melakukan penjarakan fizikal sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi dan mengundang kecaman warga net.

Kebanyakan mengecam perkara itu memandangkab Ismail Sabri sebelum ini sering mengingatkan orang ramai supaya patuh SOP dan jaga penjarakan fizikal. -Malaysiapost

Komen