Guna ‘title’ da’i untuk perdaya mangsa

Guna ‘title’ da’i untuk perdaya mangsa

PENDAKWAH selebriti yang kini direman atas tujuh laporan polis berkaitan kes rogol dan cabul, dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai da’i untuk memperdayakan mangsa.

Suspek berusia 25 tahun itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan mengajak mangsa keluar makan sebelum melakukan perbuatan keji tersebut.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, seperti dilaporkan Kosmo!.

Huzir berkata, siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan suspek menerusi mesej peribadi di Instagram sebelum dipelawa untuk keluar makan.

“Dalam tempoh perkenalan itu, suspek akan memperdayakan mangsa-mangsa dengan menggunakan kapasiti sebagai seorang da’i sebelum mempelawa mereka ke rumah.

“Suspek akan melakukan kegiatan terkutuk seperti dilaporkan mangsa ketika berada di rumahnya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini tujuh laporan diterima membabitkan suspek di sekitar Lembah Klang dan polis tidak menolak kemungkinan ada lagi mangsa yang belum membuat laporan.

“Kita minta mereka tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Suspek ditahan pada Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas seorang wanita membuat laporan mendakwa dirogol pada tahun lalu.

Semalam seorang guru berusia 22 tahun tampil membuat laporan menjadi mangsa rogol suspek, selain seorang gadis lain turut membuat laporan mendakwa dicabul. – Malaysiapost

Komen