Guru sambut hari jadi bersama sebelum dirogol pendakwah selebriti

Guru sambut hari jadi bersama sebelum dirogol pendakwah selebriti

JUMLAH laporan polis berkaitan dengan jenayah seksual melibatkan seorang pendakwah selebriti yang tular baru-baru ini semakin meningkat.

Ini termasuk, laporan seorang guru sekolah yang mendakwa dirinya menjadi mangsa rogol suspek yang kini direman untuk kes baharu siasatan rogol oleh pihak polis di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan semalam sekitar jam 6.28 petang daripada wanita tempatan berusia 22 tahun.

“Mangsa adalah seorang guru sekolah di sebuah sekolah di kawasan Lembah Klang mendakwa dirinya telah dirogol oleh public figure (pendakwah muda) warga tempatan berusia 25 tahun.

“Menurut laporan polis mangsa, insiden itu berlaku pada 22 Oktober lalu sekitar jam 9 malam yang mana suspek public figure itu mengajak mangsa keluar bersamanya menyambut hari kelahirannya di sebuah restoran di Petaling Jaya.

“Selepas selesai makan malam, suspek telah mengajak mangsa ke rumahnya di Damansara Perdana. Pada mulanya mangsa enggan mengikut tetapi didakwa telah dipujuk rayu dan dipaksa oleh suspek menyebabkan mangsa akur pergi ke rumah suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, semasa di rumah suspek, mangsa telah dirogol dan pada keesokan harinya suspek telah menghantar mangsa balik ke rumahnya.

Tambah beliau, mangsa turut diugut suspek untuk tidak menceritakan tentang kejadian yang berlaku sehingga menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan dan trauma.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan kertas siasatan telah dibuka untuk siastaan mendalam.

“Setakat ini di daerah ini terdapat dua laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa berlainan terhadap pendakwah muda selebriti yang sama,” ujarnya lagi.

Katanya, laporan pertama pada 29 November 2020 yang disiasat dibawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii secara paksaan tanpa rela.

Manakala, katanya, laporan kedua pada 30 November lalu disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – Malaysiapost

Komen