Hospital USM Kubang Kerian selamat, operasi seperti biasa

Hospital USM Kubang Kerian selamat, operasi seperti biasa

TIADA sebarang perkhidmatan di Hospital USM Kubang Kerian yang ditutup, kata Ketua Pengarahnya, Professor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim.

Beliau berkata, sebaliknya beberapa langkah keselamatan diperketatkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Dr Ahmad Sukari berkata, pihaknya telah melaksanakan tindakan segera bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja serta pelanggan Hospital USM termasuk pesakit serta waris.

“Sehubungan itu, pengurusan telah melaksanakan tindakan-tindakan segera bagi mengawal jangkitan dan dalam masa yang sama berusaha untuk memastikan perkhidmatan rawatan tidak terjejas.

“Untuk makluman, tiada sebarang perkhidmatan di Hospital USM yang ditutup.

“Bilangan pesakit termasuk perkhidmatan dewan bedah serta bilik bersalin dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi memberi masa untuk warga kerja, pesakit dan semua yang berisiko disaring,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Ahmad Sukari menjelaskan, pihaknya akan mengurangkan jumlah pesakit di Hospital USM itu kerana berlaku peningkatan pesakit positif Covid-19.

“Pengurangan pesakit juga diputuskan setelah mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 termasuk kluster sekitar negeri Kelantan yang menunjukkan peningkatan.

“Hasil tindakan pengawalan yang efektif sejak tiga hari yang lalu, sehingga jam 6 petang 30 November lalu tiada lagi kes-kes positif Covid-19 yang baharu dikesan di Hospital USM.

“Hospital USM kini beroperasi seperti biasa mulai semalam, 29 November 2020 dengan semua perkhidmatan rawatan berjalan seperti sedia ada,” katanya.

Dr Ahmad Sukari berkata, Hospital USM sentiasa proaktif menjalankan sanitasi sekitar premis secara kerap dan menggiatkan kempen amalan norma baharu kepada warga kerja serta pelanggan.

“Pengurusan Hospital USM komited dan sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berdasarkan arahan serta garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah mengarahkan warga kerja menjalani saringan, kuarantin serta isolasi apabila ada keperluan,” katanya. -Malaysiapost

Komen