Kanak-kanak cedera, terhumban bawah jejambat

Kanak-kanak cedera, terhumban bawah jejambat

SEORANG kanak-kanak perempuan terhumban ke bawah jejambat setinggi 15 meter selepas kenderaan dipandu bapanya kemalangan di Kilometer 0.4 Lebuhraya Duke berhampiran Jalan Pahang, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa mengalami kecederaan retak peha kaki kiri.

Difahamkan, sebuah Toyota Estima dipandu bapanya berusia 41 tahun dalam perjalanan dari arah Gombak ke Jalan Tun Razak sebelum terbabas ketika melalui laluan berselekoh dan melanggar tembok kiri jalan akibat hujan lebat.

Akibat pelanggaran itu, mangsa berusia lapan tahum yang dipercayai duduk di bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabit terhumban keluar daripada cermin sisi belakang kanan dan jatuh kira-kira 15 meter ke bawah dari jejambat di laluan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata mangsa jatuh di atas sebuah kereta SUV yang diparkir di hadapan bilik pameran sebuah kedai menjual kenderaan di Jalan Pahang.

“Akibat kejadian itu, mangsa cedera retak peha kaki kiri namun bapanya terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans untuk rawatan dan

kini dia ditempatkan di Wad Kanak-kanak hospital berkenaan,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, satu rakaman video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu tular di media sosial sejak malam tadi. -Malaysiapost

Foto Kredit: NSTP

Komen