Kawasan tapak bina, kilang punca kes Covid-19 meningkat

Kawasan tapak bina, kilang punca kes Covid-19 meningkat

Nurul Huda Abhar

SEBAHAGIAN besar daripada kes jangkitan Covid-19 baharu yang dilaporkan kebelakangan ini berpunca dari kawasan tapak binaan dan kilang, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, ia termasuk Kluster Teratai yang masih menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 749 kes yang dicatatkan hari ini.

“Angka yang tinggi ini susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan.

“Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan 778 kes (52.9 peratus) daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian dilaporkan di Selangor (891 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejak diumumkan pada 7 November 2020, sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif Covid-19 yang melibatkan 331 (6.5 peratus) warganegara dan 4,725 (93.5 peratus) kes bukan warganegara.

“Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan. Kesemua kes-kes positif ini telah diasingkan,” ujarnya.

Kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menunjukkan Selangor mencatatkan kes jangkitan harian tertinggi, sebahagian besar melibatkan daerah Klang iaitu 794 kes. – Malaysiapost

Komen