Kes bunuh Dr Wan Hassan: Polis berkas suspek utama

Kes bunuh Dr Wan Hassan: Polis berkas suspek utama

POLIS berjaya menahan tiga lagi suspek termasuk suspek utama kes samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia MARDI, Dr Wan Hassan Wan Embong, awal pagi tadi.

Semua mereka ditangkap dalam tiga siri serbuan dilancarkan polis di Jalan Genting Klang dan Air Panas di Setapak serta Jalan Rinching di Semenyih, antara jam 3.30 hingga 5 pagi tadi.

Penahanan suspek menjadikan setakat ini seramai 13 suspek berjaya ditahan bersabit kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata soal siasat awal ke atas seorang suspek ditahan di Jalan Rinching mendapati lelaki berusia 23 tahun itu bertanggungjawab menetak mangsa dalam kejadian kelmarin.

“Menerusi penahanan semua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa siri kes samun didalangi kumpulan itu di sekitar Lembah Klang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Katanya, seorang daripada individu yang ditahan awal pagi tadi membantu suspek utama melarikan diri ke Semenyih.

Mengenai perkembangan siasatan kes terbabit, Huzir berkata, polis percaya ketika kejadian, terdapat empat suspek melakukan samun di rumah berkenaan dengan dua berada di dalam rumah, manakala dua lagi menunggu dalam kenderaan.

“Hasil soal siasat terhadap suspek utama, dia mengaku menetak mangsa sehingga mati,” katanya.

Katanya, polis ingin mengesan seorang lelaki, Sugu Thangarajoo, 27, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi kelmarin, rumah dihuni Dr Wan Hassan dan isteri, Sarifah Yusof, 70, di Bukit Bandaraya, Bangsar, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng, meminta wang menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak pada muka dan leher, manakala isterinya ditetak pada bahu kanan.

Susulan kejadian itu, polis menahan 10 suspek berusia antara 20 hingga 29 tahun di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, di sini, pada jam 11.24 malam kelmarin bagi membantu siasatan. -Malaysiapost

Komen