Malaysia bakal hasilkan ubat HIV

Malaysia bakal hasilkan ubat HIV

PEMETRAIAN perjanjian Malaysia dengan syarikat farmaseutikal global iaitu ViiV Healthcare dan Pool Patent Medicines (MPP) membolehkan negara ini menghasilkan ubat HIV generik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya sangat berpuas hati dengan perjanjian berkenaan yang secara tidak langsung dapat memberikan ubat HIV dalam versi yang diperlukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, ubat itu lebih berkualiti dan berpatutan kepada orang yang hidup dengan HIV atau memerlukan rawatan.

“Kami berharap persaingan antara pembuat generik yang diaktifkan oleh lesen ini, akan membawa kepada kami ubat-ubatan berkualiti dengan harga yang lebih rendah.

“Bukan mudah untuk tersenarai di bawah MPP dan keputusan ini menandakan kita sebagai tonggak penting. Diharapkan ia akan membuka lebih banyak peluang untuk kita mendapatkan akses yang lebih cepat kepada ubat berkenaan bagi menyelamatkan nyawa,” katanya menerusi Twitter.

Dr Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada MPP dan semua pihak yang terbabit kerana membuat keputusan yang luar biasa itu menjadi kenyataan.

Sementara itu, Pool Patent Medicines (MPP) dalam kenyataan menyebut perjanjian pelesenan sukarela yang dimeterai Malaysia itu turut membabitkan tiga negara lain iaitu Azerbaijan, Belarus dan Kazakhstan.

Menurut kenyataan itu, ViiV Healthcare dan MPP mengembangkan perjanjian pertama itu selepas pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi oleh negara berkenaan.

“Melalui perjanjian ini, pengeluar generik berpeluang untuk membekalkan rejimen berasaskan dolutegravir (DTG) dengan harga lebih rendah berbanding dengan harga pasaran ketika ini.

“Ia seterusnya memungkinkan akses yang lebih besar kepada ubat-ubatan ini untuk orang yang hidup dengan HIV di setiap negara,” kata kenyataan itu. -Malaysiapost

Komen