Masalah mental, laporan tahunan Suhakam intipati Dewan Rakyat hari ini

Masalah mental, laporan tahunan Suhakam intipati Dewan Rakyat hari ini

[PARLIMEN] KRISIS jiwa dan mental yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat yang tertekan kerana kehilangan pendapatan, berjauhan daripada keluarga dan kegelisahan kesan pandemik Covid-19, adalah antara isu dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang akan diajukan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung usaha kementerian itu menangani krisis tersebut.

Memetik laporan Bernama, pada sesi sama, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pula meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan berniat membenarkan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibahaskan oleh Dewan Rakyat, seperti dilakukan tahun lalu.

Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) pula meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh kali ini, serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 supaya wabak tersebut tidak menular di pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan apakah peranan kementerian itu dalam membantu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi memastikan inisiatif Pertanian Pintar di agensi tersebut dapat dilaksanakan. -Malaysiapost

Komen