Pendakwah selebriti nafi semua dakwaan jenayah seks

Pendakwah selebriti nafi semua dakwaan jenayah seks

PEGUAM kepada pendakwah selebriti yang ditahan berkaitan beberapa jenayah seksual, Ahmad Amzar Ahmad Azlan memberitahu bahawa anak guamnya menafikan semua dakwaan ke atas dirinya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh penahanan pendakwah tersebut memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Anak guam saya menafikan semua dakwaan. Dia berada dalam keadaan sihat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung laporan polis yang diterima (di Shah Alam dan Petaling Jaya).

“Dia akan membersihkan namanya mengikut undang-undang sedia ada” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pendakwah berusia 25 tahun tersebut turut menyampaikan ucapan ringkas kepada media sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan polis.

Pendakwah selebriti berkenaan adalah bekas peserta program realiti televisyen versi keagamaan juga ketika itu kelihatan agak tidak terurus.

“Terima kasih semua, alright, thank you (baik, terima kasih). Assalamualaikum, jumpa lagi, bye.” Katanya selepas prosiding lanjutan tempoh remannya sehingga Ahad ini.

Terdahulu, pendakwah selebriti itu dibawa ke mahkamah dalam keadaan tangannya bergari ke Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada pukul 11 pagi oleh pasukan polis dan turut diringi peguamnya.

Sementara itu, Ahmad Amzar menjangkakan tempoh tahanan reman terhadap anak guamnya itu mungkin akan ditambah lagi memandangkan terdapatnya pertambahan laporan polis terhadap pendakwah selebriti itu.

Secara keseluruhan, terdapat tujuh laporan telah dibuat terhadap pendakwa itu membabitkan rogol, cabul, mendatangkan kecederaan dan seks luar tabii yang mana lima daripadanya dilaporkan di Shah Alam. – Malaysiapost

Komen