PM ucap takziah kepada keluarga Artortoise

PM ucap takziah kepada keluarga Artortoise

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa sedih atas pemergian kartunis ilustrasi digital, Allahyarham Mohamad Ikhsan Kamarudin, pagi tadi.

Muhyiddin berkata, sebagai peminat seni lukisan, beliau turut merasai kehilangan Allahyarham.

“Apatah lagi karya pengasas ilustrasi digital Artortoise itu telah banyak digunakan untuk menyebarkan mesej kesedaran mengenai Covid-19.

“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Pemergiannya satu kehilangan kepada semua.

” Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Mohamad Ikhsan yang juga pengasas ilustrasi digital Artortoise, meninggal dunia pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsi menerusi kemas kini di laman Facebook rasmi Artortoise.

Difahamkan, Artortoise mengidap kanser pangkal hidung tahap tiga dan menjalani rawatan sebelum dimasukkan ke Hospital Selayang bagi rawatan komplikasi Hepatitis B sejak 22 Oktober lalu. -Malaysiapost

Komen