PRU15 Azmin tanding di Batu Pahat?

PRU15 Azmin tanding di Batu Pahat?

DESAS-desus bertebaran di media sosial apabila Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan bertanding di Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu tidak dinafikan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Serudin Soud yang memaklumkan terdapat maklumat dalaman Perikatan Nasional (PN) Johor yang menyokong desas-desus tersebut.

“Sumber tersebut memaklumkan bahawa kerusi panas Parlimen Batu Pahat ini akan ditandingi oleh Azmin.

“Boleh dikatakan percaturan sudah mula berlaku di antara parti komponen PN sekiranya perkara ini benar-benar terjadi.

“Dikatakan penyandang kerusi ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon akan memberi laluan kepada Azmin untuk bertanding di sini,” jelasnya yang dipetik dari portal Johorkini, hari ini.

Menurut Serudin, rancangan Azmin itu dipercayai telah mendapat persetujuan dan dibincangkan parti lain dalam PN.

Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang reaksi daripada Barisan Nasional (BN) yang mana kerusi berkenaan adalah kerusi tradisi yang ditandingi parti itu.

Azmin yang kini Ketua Penerangan Bersatu adalah penyandang Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal sejak 2008. – Malaysiapost

Komen