Rizab antarabangsa negara meningkat RM5.74 bilion

Rizab antarabangsa negara meningkat RM5.74 bilion

[PARLIMEN] RIZAB antarabangsa negara mencatatkan peningkatan AS$1.4 bilion (RM5.74 bilion) kepada AS$105 bilion (RM436.5 bilion) setakat 30 September lalu.

Pada akhir tahun lalu, rizab antarabangsa negara adalah sebanyak AS$103.6 bilion (RM424.7 bilion).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri, berkata ia mencukupi untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar jangka pendek.

Bagaimanapun, katanya, rizab antarabangsa digunakan bagi maksud tertentu dan bukan membiayai belanjawan atau pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

“Pakej rangsangan ekonomi telah dibiayai terutama melalui pinjaman domestik daripada pasaran kewangan tempatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) berhubung jumlah rizab negara dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setakat September lalu.

Rizab negara juga merujuk kepada rizab antarabangsa BNM, merangkumi rizab mata wang asing, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Hak-hak Pengeluaran Khas (SDR), emas dan lain-lain aset rizab. – Malaysiapost

Komen