Sheila Majid ‘kunci mulut’ hingga siasatan selesai

Sheila Majid ‘kunci mulut’ hingga siasatan selesai

DATUK Sheila Majid berkata beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas siasatan selesai.

Beliau yang juga Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM) berkata demikian susulan desakan memintanya meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menyelesaikan isu agihan royalti ahli.

Sheila yang mula mengetuai RPM sejak 2012 memberitahu, buat masa ini, beliau lebih selesa mengambil sikap ‘mengunci mulut’ kerana tidak mahu mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejak beberapa hari lalu.

“Saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM. Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segala maklumat serta dokumen berkaitan yang diminta, sudah diserahkan.

“Jika ada perkara berbangkit yang menuntut penjelasan lanjut, mereka akan menghubungi saya.

“Sekarang, saya hanya menunggu tindakan lanjut mereka (SPRM). Hanya selepas siasatan selesai, barulah saya bersedia mengulas segala kemelut yang berlaku,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Baru-baru ini, industri seni kecoh apabila Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendakwa Sheila gagal dalam menjalankan tugas dalam mengagihkan royalti ahli RPM.

Kemelut itu semakin memuncak apabila SPRM campur tangan dengan menyiasat tiga badan kutipan royalti iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan RPM.

Operasi dibuat berdasarkan laporan dikemukakan Freddie yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu.

Susulan itu, karyawan menegaskan satu petisyen telah dibuat mendesak Sheila meletak jawatan sebagai Pengerusi RPM.

Freddie berkata, sehingga kini 114 ahli RPM, terdiri artis tanah air telah menandatangani petisyen terbabit. -Malaysiapost

Komen