Siti Nurhaliza akui hamil 4 bulan

Siti Nurhaliza akui hamil 4 bulan

Nurul Huda Abhar

AKHIRNYA teka teki mengenai ‘baby bump’ dan reaksi Siti Aafiyah mencium perut ibunya terjawab apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan hamil anak kedua.

Menerusi satu entri di laman Facebook rasminya, Siti, 41, berkongsi berita gembira itu bersama peminat dan memberitahu kandungannya kini berusia empat bulan.

Isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu turut memohon maaf kerana merahsiakan berita tersebut pada awalnya kerana ingin menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi secara umum.

“Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember 2020, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah pun berusia 4 bulan.

“Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami,” tulisnya hari ini.

Pelantun lagu 7 Nasihat itu juga meminta peminat agar mendoakan kesihatan dirinya dan kandungan.

Siti turut menzahirkan kesyukuran kerana diberikan rezeki untuk menimang anak kedua dalam masa lima bulan lagi selepas kelahiran anak pertamanya, dua tahun lalu.

“Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti.

“Terima kasih sekali lagi kepada kalian yang sangat memahami dan tidak putus mendoakan saya selama ini. Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini, anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih.

“Alhamdulillah. Terima kasih semua dan doakan saya ya!,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Siti Nurhaliza mendedahkan akan memulakan sesi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) selepas sambutan Aidilfitri Mei lalu.

Jelasnya, beliau menjalani pembedahan minor sebagai persiapan awal untuk rawatan terbabit.

Beliau turut mengumumkan untuk berehat panjang selepas rawatan tersebut, termasuk tidak membuat persembahan Semi Final Muzik-Muzik ke-35 baru-baru ini.

Pada 2015, Siti pernah mengalami keguguran dan kemudiannya berkongsi khabar gembira tentang kehamilannya dua tahun kemudian.

Hasil perkongsian hidup bersama Khalid, pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah yang berusia lebih dua tahun. – Malaysiapost

Komen