Suhakam kecewa laporan tahunan tak dibahas di Parlimen

Suhakam kecewa laporan tahunan tak dibahas di Parlimen

Nurul Huda Abhar

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kecewa kerana Laporan Tahunan Suhakam 2019 tidak akan dibahaskan di Parlimen.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Suhakam memaklumkan bahawa laporan tahunan tersebut yang telah dibentangkan di Parlimen pada 4 November lalu mengetengahkan pelbagai isu hak asasi manusia yang mendesak dan memerlukan tindakan segera kerajaan.

Katanya, laporan tahunan itu mengandungi syor-syor Suhakam yang berkaitan dengan hak komuniti rentan termasuk orang asal/asli, wanita dan kanak-kanak, mangsa pemerdagangan manusia, pelarian dan pencari suaka serta pekerja.

“Suhakam mengambil maklum bahawa Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 tidak menyatakan secara khusus bahawa Laporan Tahunannya perlu dibahaskan di Parlimen.

“Walau bagaimanapun, Suhakam berpandangan bahawa adalah penting laporan tahunan ini dibahaskan di Parlimen kerana ia akan memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk membincangkan secara kritis isu-isu hak asasi manusia yang melibatkan kepentingan awam dan mengesyorkan penyelesaian yang bersesuaian untuk isu-isu tersebut.

“Laporan tahunan Suhakam telah dibahaskan di Parlimen buat pertama kali pada 5 Disember 2019 dan Suhakam berharap amalan ini akan diteruskan pada tahun ini dan pada masa hadapan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, pihaknya turut menggesa kerajaan agar mengiktiraf kepentingan isu hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada urusan Kerajaan, terutamanya dalam perbahasan Parlimen. – Malaysiapost

Komen