Umno mesti jadi kerajaan bersama PAS.

Umno mesti jadi kerajaan bersama PAS.

UMNO mesti berusaha keras untuk menguasai semula tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan melalui Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada siapa pun boleh memperkecilkan kekuatan dan menghalang Umno sebagai parti nasionalis untuk kembali membela nasib orang Melayu dan Islam.

“Umno sebagai sebuah parti politik Melayu tertua dan terbesar, tidak akan memadamkan mandat dan tugasnya sebagai parti nasionalis terbesar dan teras kepada kekuatan politik Melayu Islam.

“Misi Umno adalah menguasai semula kerajaan melalui BN dengan kerjasama PAS, dan tiada siapa dapat dan patut menghalangnya.

“Mereka yang bercadang memencilkan pengaruh Umno adalah mereka yang sebenarnya lemah dan tidak mempunyai kekuatan untuk ditawarkan kepada bangsa Melayu di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tanpa menyebut nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tiada parti lain yang dapat memahami dan menjaga kehendak politik orang Melayu dan Islam selain Umno.

Malah, katanya, PAS akan melengkapi kekuatan Umno yang merupakan parti paling sesuai dan memang memahami kepentingan politik orang Melayu sejak dahulu.

“Mereka sekadar sedar politik Melayu itu penting, tetapi tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjayakannya. Cadangan dan pandangan sebegini tidak wajar, dan tidak seharusnya berterusan.

“Ini kerana, mereka yang menyeru dan mendakwa agar tidak perlu ada parti Melayu yang dominan, adalah mereka yang gagal memahami hakikat politik nasional, tidak sensitif dan malas berusaha untuk mengangkat dan melindungi orang Melayu.

“Sebenarnya, Umno dan PAS adalah kekuatan yang mencukupi. Yang selebihnya, akan menyebabkan ‘the space is a little bit too crowded’,” katanya.

Tambah Mohamed Khalid lagi, parti Melayu yang dominan telah lama wujud dan tidak boleh dinyahkan begitu sahaja.

Mohamed Khalid menegaskan, sebuah parti Melayu yang dominan sangat penting dalam memastikan kestabilan politik nasional.

“Sama ada kenyataan ini sensitif atau tidak, berselindung atau bersemuka, ini adalah hakikat.

“Umno dan PAS adalah rakan kerjasama yang setara dalam Muafakat Nasional. Namun kekuatannya berbeza.

“Umno ternyata lebih besar dari segi pengaruh dan kekuatan akar umbi. PAS pula mempunyai kelebihan tersendiri dalam mewakili orang Melayu,” katanya

Dalam pada itu, Mohamed Khalid menegaskan, Umno yang memimpin BN menguasai kerajaan sehingga 2018, telah membuktikan sebagai sebuah gabungan yang terbaik tanpa mengenepikan kepentingan parti parti komponen lain dalam gabungannya.

“Parti Melayu yang dominan semenjak Merdeka ialah Umno. Umno bukan sahaja dominan sebagai parti Melayu, tetapi parti dominan dalam Barisan Nasional.

“Dek kekuatan Umno, BN dapat berfungsi dengan baik sebagai sebuah perikatan. Umno bukan sahaja memberi ruang dan peluang kepada Gerakan, MCA dan MIC bertanding di kawasan majoriti Melayu, malah sentiasa berusaha memastikan kemenangan parti-parti komponen ini.

“Semua ini bukti bahawa sekali pun Umno dominan dan menjadi parti tunggak, ia tidak pernah menafikan kepentingan parti-parti lain dalam BN.

“Malah, dengan kekuatan UMNO lah, parti-parti komponen BN yang lain turut diterima, menjadi kuat dan mempunyai perwakilan dalam kerajaan,” tegasnya. -Malaysiapost

Komen