Willie nafi tunjuk jari tengah

Willie nafi tunjuk jari tengah

[PARLIMEN] TIMBALAN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Willie Mongin menafikan beliau menunjukkan isyarat lucah di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau didakwa menunjukkan isyarat jari tengah sebelum proses pengundian belah bahagi peruntukan untuk kementeriannya di bawah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Puncak Borneo itu menafikan dakwaan berkenaan malah menyatakan ada kemungkinan Ahli Parlimen terbabit tersalah nampak.

“Ingin saya tegaskan bahawa itu saya tidak menunjukkan jari tengah saya dan mungkin mereka tersilap nampak.

“Tetapi kalau mereka beranggapan sedemikian saya sedia meminta maaf,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, RSN Rayer (Jelutong-PH) bangun mendakwa Willie menunjukkan isyarat lucah dan dilihat lebih kurang 10 Ahli Parlimen pembangkang.

“Ini menghina terutamanya wanita, Ahli Parlimen wanita. Jangan biarkan ini ditafsirkan sebagai jenaka. Ini perkara serius.

“Minta dia meminta maaf,” katanya. – Malaysiapost

Komen