Akta 711 lindungi pemberi maklumat

Akta 711 lindungi pemberi maklumat

[PARLIMEN] PEMBERI maklumat yang bertindak dengan niat baik dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), berkuat kuasa 15 Disember 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin (PAS-Kota Bharu) berkata melalui Akta 711, pemberi maklumat diberi perlindungan berkenaan maklumat sulit, membabitkan identiti, alamat, pekerjaan dan yang berkaitan.

Katanya, pemberi maklumat juga kebal daripada tindakan sivil dan jenayah serta dilindungi daripada tindakan memudaratkan, sama ada terhadap dirinya atau mana-mana orang mempunyai hubungan atau kaitan.

“Objektif penggubalan Akta 711 bagi memerangi rasuah dan salah laku lain dalam sektor awam dan swasta dengan menggalakkan serta memudahkan orang awam untuk mendedahkan perbuatan rasuah dan kelakuan tidak wajar.

“Akta 711 juga memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan menjalankan penyiasatan terhadap kelakuan tidak wajar dan tindakan memudaratkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) sama ada kerajaan akan melaksanakan dasar rasmi untuk menubuhkan sistem dan prosedur untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat.

Takiyuddin berkata, skop pelaksanaan Akta 711 membabitkan sektor awam dan swasta seperti peruntukan dalam Seksyen 2, selain skop agensi penguatkuasaan ditakrifkan adalah luas. -Malaysiapost

Komen