Amanah nafi beri amaran kepada Anwar

Amanah nafi beri amaran kepada Anwar

PARTI Amanah Negara (Amanah) menyangkal dakwaan bahawa parti itu memberi amaran kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru baru ini.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, berita yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insight edisi Bahasa Inggeris yang bertajuk “Amanah gives Anwar 7 days to oust Muhyiddin, say sources” adalah tidak benar sama sekali.

Malah, menurut Khalid, berita itu berniat untuk melaga-lagakan Amanah dengan Presiden PKR itu.

“Ini kerana, bagi Amanah, kedudukan Ketua Pembangkang dan mendapatkan kembali kerajaan dari Perikatan Nasional adalah dua perkara yang berbeza.

“Kedudukan Ketua Pembangkang diputuskan melalui perbincangan antara komponen parti bukannya hak atau tanggungjawab Amanab sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, partinya telah mengadakan mesyuarat susulan tindakan luar biasa PH yang tidak membangkang dan membiarkan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar dengan mudah minggu lalu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Amanah baru-baru ini hanya memutuskan Amanah menghargai kesediaan Anwar untuk mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku pada 26 November lepas di Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, kita juga telah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan gabungan apa yang patut dibuat seterusnya selepas peristiwa itu,” jelasnya.

Tambah Khalid, parti itu tidak pernah mengamalkan budaya mengecam atau memberi amaran kepada parti-parti komponen PH selama ini.

“Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan Amanah memberikan kata dua kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.

“Memberi katadua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya Amanab,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan telah mengarahkan Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar tanpa melalui proses undian belah bahagi, Khamis lalu.

Perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir Ahli Parlimen Pembangkang yang mula mempertikaikan kewibawaan Anwar sebagai Pengerusi PH. -Malaysiapost

Komen