Bina tugu hargai pengorbanan Sarjan Baharuddin

Bina tugu hargai pengorbanan Sarjan Baharuddin

TUGU peringatan bagi menghargai jasa dan pengorbanan Sarjan Baharuddin Ramli yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, minggu lalu dicadang dibina di lokasi kejadian.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Superintendan Rosman Kasman, berkata tugu itu akan dibina berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis sejurus siasatan berkaitan kes itu selesai nanti.

Katanya, tugu peringatan itu akan menjadi kenangan bukan saja buat pasukan Batalion 3 ketika datang semula bertugas di situ nanti malah untuk tinggalan sejarah buat anggota batalion lain ketika melakukan penugasan di kawasan itu.

“Saya tak mahu orang ingat mendiang pada ketika ini saja dan saya nak jasa dan pengorbanan mendiang diabadikan melalui tugu peringatan itu.

“Saya akan berbincang dengan semua pihak supaya apa yang dicadangkan ini dapat ditunaikan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dalam pada itu, pihaknya juga bercadang untuk menamakan stadium mini di Kem Batalion 3 PGA di Bidor, Perak dengan nama Astaka Sarjan Baharuddin sebagai mengenang jasa mendiang.

Katanya, ini kerana minat mendiang yang mendalam terhadap bola sepak selain sentiasa menjaga padang bola sepak dengan baik.

“Mendiang sangat rajin, kalau berada di kem, dialah yang selalu memotong rumput dan mengendalikan kawasan padang bola kerana minatnya terhadap bola sepak.

“Sepanjang saya mengenalinya, mendiang rapat dengan saya dan sentiasa berbincang jika ada sebarang masalah tetapi dia suka bersendirian,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga sentiasa mendoakan seorang lagi anggota, Sarjan Norihan Tari, 39, yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang kembali pulih.

Katanya, beliau bangga dengan kejayaan dua anggotanya yang sanggup berjuang demi kedaulatan dan keamanan negara.

Dalam kejadian 24 November lalu, dua anggota Batalion 3 diserang hendap oleh penyeludup di kawasan berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, Sarjan Baharuddin Ramli terkorban selepas ditembak penyeludup manakala rakannya, Sarjan Norihan cedera akibat terkena tembakan di perut namun sempat menyelamatkan diri untuk mendapatkan bantuan di pos berhampiran. -Malaysiapost

Komen