Brunei tagih resepi baru Rajagobal

Brunei tagih resepi baru Rajagobal

PENGENDALI baru skuad kebangsaan Brunei, Datuk K Rajagobal percaya acuan dan resepi barunya mampu melonjakkan prestasi Brunei pada masa hadapan.

Selain usaha keras pasukan, Rajagobal berkata, resepi yang sesuai akan digunakan bagi memastikan Brunei dapat memperbaiki ranking bolasepak dunia dan layak ke saingan utama Piala Suzuki AFF 2021.

“Mungkin saya perlu tukar sedikit resipi saya. Bukan selalu kita boleh mengikut resipi lama kerana akan sentiasa ada perubahan.

“Saya perlu melihat apa resipi yang boleh digunakan untuk meningkatkan permainan pemain Brunei.

“Saya yakin bahawa pemain sedar dan sudah mendengar berita bahawa saya akan ke sana, jadi saya mahu mereka memberikan kerjasama, bekerja keras dan yakin kami mampu melakukan sesuatu,” katanya yang dipetik Astro Arena, hari ini.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu sah mengikat kontrak selama tiga tahun bersama Persatuan Bolasepak Brunei (NFABD) semalam.

Rajagobal menganggap pelantikan dirinya sebagai jurulatih Brunei sebagai satu penghormatan buatnya selepas tujuh tahun meninggalkan skuad kebangsaan.

“Ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk saya kembali ke arena bola sepak antarabangsa.

“Memang saya perlu berterima kasih kepada NFABD kerana memberikan kepercayaan kepada saya sebagai jurulatih dan saya dapat kembali ke tahap dan suasana yang saya sudah biasa di peringkat antarabangsa seperti sebelum ini, ia satu cabaran buat saya,” katanya. -Malaysiapost

Komen