Dekk Mat nak jual nasi lemak berlauk

Dekk Mat nak jual nasi lemak berlauk

Nilam Oshman

PENIAGA Nasi Lemak Bujang, Mohd Nor Abdullah atau lebih dikenali ‘Dekk Mat’ yang cacat kedua-dua tangan, memasang impian untuk menambah ‘menu’ jualannya.

Beliau berkata, menerusi Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S10KU1P) yang diterima daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Syarikat Korporat (SSM), membuka ruang untuknya maju ke hadapan.

Katanya, dengan skim itu secara tidak langsung menjadi ‘lesen’ untuk beliau berniaga dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Insya-Allah rezeki ini, saya nak buat macam kedai, tambah (menu) makanan. Contoh, nasi lemak bungkus (pelbagai) lauk, kuih-muih, banyaklah.

“Saya fikir dulu tapi.. itu perancangan saya,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan zakat SSM di gerainya di Amber Busssines Plaza di Cheras, disempurnakan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

S1OKU1P membolehkan golongan OKU mendaftarkan perniagaan baharu dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma.

Mohd Nor berkata ketika ini dia menjual satu jenis nasi lemak bersama sambal ikan bilis serta telur goreng, namun kualiti tetap dijaga dan mampu menjual sehingga 1,000 bungkus sehari berbanding hanya 150 bungkus sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohd Nor meluah rasa terharunya dan berterima kasih kepada Alexander dan KPDNEHP serta SSM di atas skim dan sumbangan yang diberikan.

“Alhamdulillah, KPDNHEP sudi membantu saya dengan memberi sijil kepada saya untuk berniaga,” katanya.

Kisah peniaga istimewa ini tular di media sosial beberapa hari lalu selepas gambarnya berniaga nasi lemak berhampiran 7 Eleven berdekatan stesen LRT Cheras dimuat naik di Facebook. – Malaysiapost

Komen