GRS juga berhak tuntut jawatan TPM

GRS juga berhak tuntut jawatan TPM

PRESIDEN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga berhak menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri yang kini menjadi tuntutan Umno.

Beliau berkata, ini kerana gabungan politik itu adalah antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Jeffrey berkata, beliau tidak menolak sekiranya ditawarkan jawatan itu atau kepada parti lain dalam gabungan berkenaan.

“Memang kita (parti) pun berhak menerima jawatan timbalan perdana menteri. Saya merasakan tiada halangan jika jawatan ini diberikan kepada saya atau parti lain sekiranya ia mampu mengukuhkan lagi kekuatan dalam kerajaan selagi tidak menjejaskan kedudukan mana-mana pihak,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau mengulas tuntutan yang dibuat oleh UMNO terhadap jawatan nombor dua kerajaan itu yang dibangkitkan oleh kepemimpinan parti itu sebelum ini.

GRS merupakan gabungan parti politik di bawah Perikatan Nasional (PN) di Sabah yang menguasai 11 kerusi Parlimen manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula 18.

Ahad lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan isu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi pemimpin Umno akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai

Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua parti gabungan PN untuk tidak mendesak jawatan tersebut diberikan kepada Umno.

Umno sebelum ini mempertahankan bahawa pemimpin partinya berhak mendapat jawatan berkenaan tetapi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan menolak untuk melantik Presiden Zahid sebagai timbalannya.

Ia kerana Zahid sedang dibicarakan mahkamah atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Jeffrey bagaimanapun berkata, tidak semudah itu untuk memberikan jawatan tersebut kepada partinya atau parti lain yang sehaluan kerana jika dibandingkan parti dengan Umno , STAR mempunyai bilangan kerusi terlalu kecil.

“Saya pun hanya ada satu kerusi sahaja. Oleh yang demikian, tidaklah saya menuntut jawatan ini sebab matlamat saya adalah mahu menyumbang kepada rakyat dan negara dan bukannya mahu meminta-minta jawatan lebih tinggi,” katanya. -Malaysiapost

Komen