i-Sinar KWSP: i-Happy atau i-Kecewa? – Najib

i-Sinar KWSP: i-Happy atau i-Kecewa? – Najib

Nurul Huda Abhar

TERDAPAT beberapa reaksi selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar yang kini dibuka kepada ahlinya yang layak.

Ia termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertanya pendapat pengikutnya di Facebook mengenai syarat yang telah dikemukakan KWSP bagi pengeluaran mengikut i-Sinar hari ini.

“Okay atau tidak?. i-Happy atau i-Kecewa?,” tulisnya hari ini.

Menerusi semakan Malaysiapost, rata-rata pengikut FB Najib tidak berpuas hati dengan syarat KWSP bagi pengeluaran wang simpanan Akaun 1 yang dikatakan masih menyusahkan rakyat.

Anna Shamsuddin yang komen di hantaran Najib itu menyatakan dia berasa seperti tertipu dengan janji yang dibuat kerajaan ketika pengumuman pengeluaran i-Sinar sebelum ini.

“Sangat mengecewakan Datuk, sedih yang amat hati ni sebab terlalu mengharap duit kita sendiri nak keluarkan. Kami rakyat kena tipu macam tu je. Datuk tolonglah bela nasib rakyat. Kenapa KWSP tak buat ‘auto credit’ sahaja yang mohon i-Lestari baru-baru ini. Sedih kecewa tekanan,” tulisnya.

“Terbukti la. Memang duit ‘cash’ dah tak ada dalam akaun KWSP. Cuma angka. Dengan sedaya-upaya KWSP pusing balik ayat. Auta pada syarat. Pusing-pusing sedikit. Habis yang masalah lain-lain macam mana?,” kata Mohd Tolib.

KWSP hari ini mengumumkan kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar yang kini dibuka kepada semua pencarum yang layak.

Kategori satu adalah mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Manakala, kategori dua pula adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac lalu.

Ia juga termasuk yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan. – Malaysiapost

Komen