IRAMA sokong SPRM siasat isu royalti muzik

IRAMA sokong SPRM siasat isu royalti muzik

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu bayaran royalti akan memberi pemahaman jelas mengenai permasalahan sebenar yang berlaku dalam industri hiburan tanah air.

Konsortium IRAMA (IRAMA) dalam kenyataan berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan SPRM memulakan siasatan ke atas beberapa pihak berkaitan kutipan bayaran royalti hak rakaman, penulis/pencipta lagu dan pelaku rakaman muzik baru-baru ini.

“Kita yakin SPRM akan membuat siasatan yang terperinci sekali gus dapat memberikan pemahaman yang jelas atas penghasilan pendapatan kepada industri ini yang telah lebih 60 tahun merdeka tetapi telah terlepas pandang dari sudut pengawalan dan tatacaranya,” kata kenyataan itu.

IRAMA berkata, pihaknya berharap siasatan ini dapat memberikan pemahaman yang jelas kepada pihak kerajaan isu berbangkit.

“Kita berharap kerajaan tidak bertindak seperti kerajaan yang lalu sehingga menyerabutkan keadaan ekosistem industri yang telah pun tersedia berserabut dengan pelbagai isu yang berlangsung berdekad tanpa dipedulikan.

“Isu ini bukan saja berkisar tentang kenapa kutipan yang dibuat dan terkumpul itu tidak diagihkan, malah ianya berakar-umbi tentang perjalanan industri itu sendiri sejak Akta Hakmilk Intelektual diperkenalkan dari dunia barat ke seluruh dunia,” katanya.

IRAMA berkata, kerajaan sewajarnya memahami bahawa industri muzik tidak sama seperti industri produk barangan yang lain.

“Ia memerlukan kefahaman yang spesifik tentang keperincian antara penggiat, pemain dan pelabur industri.

“Langkah kerajaan terdahulu memberikan lesen kutipan kepada sebuah badan baru iaitu RPM merupakan titik mula kepada masalah ini.

“Ini kerana sebelum itu Prism Sdn Bhd telah pun ada walaupun memberikan hak kutipan itu kepada PPM,” katanya.

Pertubuhan itu berkata, perubahan pentadbiran bukanlah alasan untuk memberi penyelesaian dengan menubuhkan sebuah lagi badan kutipan, apatah lagi berada dalam kelompok yang sama yang diterajui oleh pelabur industri iaitu RIM.

“Sepatut dan seharusnya setiap badan kutipan yang diiktirafkan Kerajaan berada dalam keadaan berkendiri dan tidak dikuasai oleh satu pihak yang berkepentingan bagi menzahirkan keadilan, baik dari segi pendapatan royalti maupun peluang-peluang dan pengetahuan yang lain.

“Memaksakan penubuhan MRM terutamanya dalam hal penting iaitu pembahagian pendapatan royalti adalah kesilapan paling besar yang dibuat oleh Kerajaan lalu,” katanya.

Dalam pada itu, IRAMA berkata, banyak lagi isu sampingan membabitkan bayaran royalti dan harap ia dapat diselesaikan segera.

“Seharusnya semua pihak termasuk Kementerian-kementerian yang terlibat bersama MyIPO memahami bahawa pendapatan royalti ini merupakan antara model bisnes terpenting bagi pelabur dan penggiat.

“Ini kerana perubahan cara bisnes digital, selain dari pendapatan ‘directly’ hasil dari digital seperti dari Spotify, Apple Music, Joox, Amazon Prime dan lain-lain.

“Perlu dimaklumkan juga semua platform digital dan streaming ini membayar kepada MRM dan MRM sepatutnya menyalurkan agihan ini kepada badan-badan kutipan seperti MACP, PPM dan kini RPM yang seterusnya mengagihkan kepada ahli.

“Namun agihan pembayaran royalti daripada badan penyiaran seperti RTM, Astro dan Media Prima diberikan secara ‘lump sump’.

“Namun badan-badan ini terutamanya PPM hanya mengagihkan kepada ahli PPM dan bukan untuk semua pelabur atau pembuat konten/penggiat indie,” katanya.

IRAMA berkata, pihaknya ingin membantu agar industri ini dinikmati secara bersama dan saksama. -Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

Komen