Kerajaan tiada usaha spesifik bantu pekebun kecil – Tun M

Kerajaan tiada usaha spesifik bantu pekebun kecil – Tun M

[PARLIMEN] BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tiada sebarang usaha spefisik dilakukan oleh kerajaan untuk mempromosikan kaedah pertanian moden dalam kalangan pekebun kecil.

Dr Mahathir (Bebas-Langkawi) berkata, sekiranya golongan itu dibiarkan dengan cara lama, mereka tidak akan dapat memajukan diri dan kerana itu beliau sukar menyatakan sokongan terhadap Belanjawan 2021.

“Mungkin kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah memikir dan melaksana cara-cara pertanian moden ini. Jika sudah ketepikan sahaja pendapat saya ini tetapi setakat saya tahu kebun kecil masih kecil dan peruntukan hanya untuk subsidi.

“Maka akan miskinlah pekebun kita selama-lamanya. Saya juga mempunyai idea berkenaan dengan menangkap ikan. Cara nelayan kita tangkap ikan akan meneruskan mereka sebagai golongan miskin.

“Nampak pendekatan kerajaan terhad kepada memberi elaun dan menambah elaun. Selain dari menambah elaun tak adakah cara untuk menambah pendapatan nelayan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, penambahan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan daripada RM500 juta kepada RM1.4 bilion, adalah tidak mencukupi.

Sebaliknya, kata beliau apa yang perlu dilakukan adalah pendekatan untuk mengatasi kemiskinan para pekebun dan nelayan.

“Sebenarnya di Langkawi ternakan ikan amat berjaya. Laut Langkawi dilindungi oleh pulau-pulau dari angin kencang dan ombak tinggi. Banyaklah tempat yang sesuai untuk ternakan ikan dalam sangkar.

“Nelayan keseorangan tidak mungkin adakan perusahaan ini. Hanya syarikat atau koperasi sahaja yang mungkin,” katanya.
-Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

Komen