Kesilapan Ahli Parlimen Tasek Gelugor wajar dirujuk jawatankuasa – Peguam

Kesilapan Ahli Parlimen Tasek Gelugor wajar dirujuk jawatankuasa – Peguam

Muhammad Mustakim Ramli

KESILAPAN Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang hanya ‘menggangap’ Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz telah menyokong adalah sama sekali bercanggah dengan Peraturan 47 (1).

Katanya, peraturan itu memestikan Shabudin untuk bertanya kepada Ahli Parlimen Padang Rengas terlebih dahulu.

Muhammad Rafique berkata, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dalam penjelasannya menyatakan antara lainnya bahawa semasa sesi pengundian, beliau nampak Padang Rengas lalu membuat andaian bahawa Padang Rengas telah menyokong.

“Beliau juga menyatakan bahawa beliau tiada niat untuk menipu Dewan atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Peraturan Dewan.

“Peraturan 47 (1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan dengan jelas bahawa semasa undian belah bahagian, Penghitung Undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana yang hendak diundinya.

“Iaitu: 47 (1) Apabila belahbahagian telah diperintahkan, maka Penghitung undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana hendak diundinya. Setiausaha hendaklah memasukkan undi masing-masing 2 ahli itu dan nama ahli-ahli yang tidak mengundi dalam buku Undi-undi dan Perjalanan Mesyuarat.

“Persoalan yang timbul adalah, bagaimana mungkin Tasek Gelugor boleh tersilap jika Peraturan 47 (1) mengkehendaki beliau untuk bertanya kepada tiap-tiap ahli?,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, maka adalah jelas bahawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor telah sebenarnya dengan sengaja menipu Dewan Rakyat dalam keadaan beliau mempunyai pengetahuan penuh bahawa Padang Rengas tidak hadir semasa sesi pengundian tapi hanya dengan membuat andaian sahaja.

“Ianya juga perlu ditekankan di sini bahawa penipuan yang dilakukan oleh Tasek Gelugor tersebut hanya diketahui umum setelah pendedahan oleh Yang Berhormat Kangar yang membangkitkan perkara tersebut kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.

“Integriti Dewan Rakyat selaku pentas perbahasan tertinggi negara tidak harus dicemari dengan penipuan secara terang-terangan ini. Keabsahan kerajaan Perikatan Nasional yang hanya bermajoriti tipis mesti dibuktikan dengan telus dan adil mengikut Kedaulatan Undang-Undang,” katanya.

Beliau berkata demi menjaga integriti Dewan Rakyat, maka Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu wajar untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk diambil tindakan segera agar perkara yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Sebelum ini, Shabudin menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk menipu Dewan Rakyat selepas tersilap menandakan Nazri sebagai menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan dalam pengundian belah bahagi, baru-baru ini. -Malaysiapost

Komen