KKM tolak dakwaan wad sesak, minta pesakit ke hospital swasta

KKM tolak dakwaan wad sesak, minta pesakit ke hospital swasta

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menolak dakwaan bahawa kemudahan untuk merawat pesakit bukan Covid-19 tidak mencukupi sehingga perlu mendapatkan rawatan ke hospital swasta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak KKM telah menyediakan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah (PKRC) khas untuk merawat pesakit jangkitan wabak Covid-19.

“Mereka tidak menggunakan hospital tapi menggunakan PKRC. Kalau kita lihat ada lima tahap. Di PKRC kita tempatkan mereka yang bergejala dan tiada gejala, gejala ringan dan tiada gejala.

“Tahap satu iaitu tanpa gejala, yang positif adalah 79.7 peratus. Tahap dua gejala ringan, demam dan batuk sedikit 13.8 peratus.

“Mereka yang dimasukkan ke hospital adalah amat kurang iaitu mereka ditahap tiga 4.2 peratus dan tahap empat 1.7 peratus serta tahap lima 0.6 peratus,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut beliau, pesakit-pesakit yang disenaraikan itu tidak menggunakan katil hospital, dan tidak wujud sebarang masalah rawatan kepada pesakit bukan atau Covid-19.

“KKM mempunyai 147 buah hospital, yang mana 45 hospital adalah hospital hibrid yang dikhaskan untuk merawat kedua-duanya. Lain hospital dia tidak merawat.

“Juga dua hospital universiti yang merawat pesakit Covid-19. Setakat ini, kita lihat dari PKRC ada 14,754 katil untuk mereka tahap satu dan dua.

Tambahnya, jika pesakit tahap tiga, empat dan lima benar-benar memerlukan katil hospital, mereka boleh ditempatkan di katil PKRC

“Setakat ini, kita hanya tempatkan tahap satu dan dua sahaja. Yang penting kena pastikan pengurusan hospital Covid-19 dan hospital hibrid.

“Aplikasi hospital kluster iaitu di Sungai Buloh. Kita juga gunakan klinik maya untuk kurangkan kesesakan, dan kita laksanakan pembedahan elektif pada Sabtu dan Ahad iaitu di luar masa yang ditetapkan untuk pembedahan,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen