PDRM tubuh pasukan khas bawa suspek serang PGA ke Malaysia

PDRM tubuh pasukan khas bawa suspek serang PGA ke Malaysia

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan satu pasukan khas bagi memastikan tiga suspek insiden serangan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang masih berada di Thailand, dapat dibawa ke negara ini secepat mungkin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ketiga-tiga suspek warga Thailand termasuk salah seorang dipercayai ketua kumpulan terbabit diperlukan bagi meneruskan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa Malaysia.

Katanya, pasukan khas terbabit akan berhubung dan berbincang bersama Jabatan Peguam Negara, Kedutaan Malaysia di Bangkok serta Polis Thailand bagi membantu usaha membawa suspek berkaitan.

“Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad sudah beberapa kali berhubung dan mengadakan perbincangan bersama Polis Thailand berkaitan tiga suspek yang masih berada di negara itu, tetapi tiada kata putus diberikan.

“Kita dimaklumkan mereka akan berhubung dengan pihak di Bangkok sebelum membuat keputusan sama ada menyerahkan suspek atau tidak,” katanya seperti dilapor BH.

Huzir berkata, penting bagi ketiga-tiga suspek dibawa ke negara ini kerana salah seorang daripadanya adalah ketua yang menjadi perancang kegiatan jenayah di sempadan.

“Kita memang memerlukan mereka supaya tindakan boleh diambil di negara di mana tempat berlakunya kejadian anggota PGA Batalion 3 terbunuh dan seorang parah.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek ditahan kerana operasi masih dilakukan dan berharap hasilnya akan memberi kesan positif,” katanya.

Setakat ini, seramai 22 suspek termasuk empat warga Thailand ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh. – Malaysiapost

Komen