Saya sedia tawar diri jadi saksi perbicaraan Azmin – Tun M

Saya sedia tawar diri jadi saksi perbicaraan Azmin – Tun M

Nurul Huda Abhar

TUN Dr Mahathir Mohamad sedia menawarkan diri sebagai saksi dalam tindakan saman 10 pengundi berdaftar terhadap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di Mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan. Saya sedia membantu,” katanya dalam kenyataan, hari ini,

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, tindakan saman yang diambil kerana Mohamed Azmin didakwa memungkiri sumpah setia selaku Ahli Parlimen, mengabaikan amanah pengundi pengundi kawasan Gombak untuk kepentingan diri.

Tambahnya lagi, Menteri Kanan Ekonomi itu juga tidak menghiraukan janji yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya (PRU) ke-14, dan melakukan kesalahan “tort” penipuan (committed tort of deceit).

‘Saya dapati Pernyataan Tuntutan mengandungi antara lain Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memecah belah gabungan Pakatan Harapan (PH), Kerajaan yang sah yang dipilih oleh Rakyat.

“Terdapat juga pernyataan bahawa saya tidak menghadiri pertemuan di Hotel Sheraton pada 23.2.2020.

“Juga dinyatakan saya telah meletak jawatan pada 24.02.2020. Ini adalah seperti selalu saya tekankan bahawa perpecahan gabungan PH adalah akibat dari Langkah Sheraton.

“Terdapat juga pernyataan bahawa Azmin kini bekerjasama dengan pemimpin dari Barisan Nasional (BN) termasuk mereka yang telah dan/atau masih menghadapi tuduhan tuduhan jenayah.

“Kesemua perkara yang didakwa melalui tindakan yang difailkan ini telah pun saya nyatakan berulang kali,” ujarnya.

Dr Mahathir berkata, Ahli Parlimen harus faham bahawa rakyat memilih sebagai wakil untuk bersuara di Parlimen dan memimpin mereka bukannya untuk kepentingan peribadi.

Mengulas lanjut, beliau mengakui mahkamah merupakan forum paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan oleh 10 plaintif yang memfailkan tindakan berkenaan.

Katanya, keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen adalah sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara. -Malaysiapost

Komen