Hujan lebat luar biasa: Terengganu banjir lagi

Hujan lebat luar biasa: Terengganu banjir lagi

TERENGGANU kembali dilanda banjir malam tadi, iaitu kurang 24 jam selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu ditutup semalam.

Sehingga jam 7 pagi tadi, sembilan PPS dibuka di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman selepas penduduk di daerah berkenan terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata seramai 439 mangsa daripada 124 keluarga mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi.

Katanya, daerah Marang merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 156 mangsa daripada 42 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila.

“Ia diikuti daerah Kuala Terengganu, apabila tiga PPS iaitu SK Chendering, SK Ladang dan SK Pasir Panjang dibuka bagi menempatkan 114 mangsa daripada 36 keluarga.

“Di Kuala Nerus pula, seramai 22 keluarga membabitkan 96 mangsa ditempatkan di tiga PPS manakala, dua PPS dibuka di Kemaman bagi menempatkan 73 mangsa daripada 24 keluarga,” katanya.

Che Adam berkata, kenaikan paras air laut juga agak drastik terutama di Bandaraya Kuala Terengganu malam tadi susulan hujan lebat berterusan.

“Hasil maklumat daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), julat hujan yang turun malam tadi hampir enam hingga lapan jam di antara 170 ke 180 milimeter (mm) yang mana sangat banyak untuk tempoh berkenaan.

“Kebiasaannya dalam tempoh sebulan, julat hujan yang turun antara 200 hingga 280 mm dan implikasi akibat hujan yang sangat banyak menyebabkan sebahagian besar Bandaraya Kuala Terengganu digenangi air,” katanya.

Tambahnya, pertembungan fenomena air pasang besar juga menyebabkan aliran air di sebahagian kawasan rendah di Bandaraya Kuala Terengganu tidak dapat turun ke laut dengan lancar.

“Waktu puncak air pasang berkenaan bermula antara jam 1 hingga 2 pagi dan aliran air kembali lancar selepas itu.

“Difahamkan, sebahagian jalan yang ditutup di Bandaraya Kuala Terengganu malam tadi mula dibuka secara berperingkat bermula jam 3 pagi,” katanya. -Malaysiapost

Foto kredit: Bernama

Komen