Zuraida kecam lelaki tampar juruwang hamil

Zuraida kecam lelaki tampar juruwang hamil

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengecam tindakan seorang lelaki bertindak kasar dengan menampar juruwang hamil lima bulan dalam kejadian di sebuah pasar raya di Klang yang tular di media sosial sejak Selasa.

“Saya percaya tindakan lelaki yang menampar wanita berkenaan seolah-olah mencederakan anggota keluarga perempuannya seperti ibu, anak, kakak, adik, nenek atau isterinya sendiri.

“Saya difahamkan kertas siasatan telah dibuka namun saya harap agar siasatan terperinci dilakukan bagi kes tersebut dan penyelesaian terbaik dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika Covid-19 melanda negara, tuntutan mencari rezeki bagi menyara keluarga tidak lagi mudah.

Katanya, wanita berkenaan juga terpaksa bekerja sebagai juruwang dan dalam pada masa yang sama mengurus rumah tangga.

“Pengorbanan wanita itu wajar dihargai bagi memudahkan urusan orang ramai membeli keperluan asas dan sanggup meletakkan diri dalam risiko dijangkiti virus itu.

“Justeru, tanpa mengira bangsa dan agama, marilah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Saya juga berharap agar kejadian seumpama itu tidak lagi berlaku,” katanya.

Difahamkan, dalam kejadian Ahad lalu, Nor Ain Shafinaz Nor Azman, 24,
secara tidak sengaja tercampak barangan dibeli seorang pelanggan wanita sehingga terkeluar daripada plastik.

Perkara itu sekali gus membuat pelanggan itu memarahinya dan memaklumkan kepada suaminya yang berada di luar premis, sebelum suspek naik angin dan menampar wanita berkenan.

Insiden berlaku ketika pasar raya itu dalam proses menutup operasi hariannya dan terdapat beberapa pelanggan sedang beratur menunggu bagi melakukan transaksi pembelian.

Susulan itu, lelaki berkenaan yang merupakan seorang pemandu lori ais ditahan semalam bagi siasatan lanjut. -Malaysiapost.

Komen