Covid-19: 4 kluster baharu, 5 kluster tamat

Covid-19: 4 kluster baharu, 5 kluster tamat

Fitri Nizam

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat kluster baharu di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua kluster baharu dikesan di Sabah dikenal pasti sebagai Kluster Batu Tiga dan Jalan Domis.

Katanya, Kluster Batu Tiga yang dikesan di Tawau sehingga kini telah menjangkiti 28 individu.

“Kluster Jalan Domis pula dikesan di Penampang, Kota Kinabalu dan Tongod telah menjangkiti 12 orang selepas 132 individu melakukan ujian saringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kluster baharu yang dikesan di Selangor adalah di daerah Klang yang dikenali sebagai Kluster Andalas.

“Sehingga hari ini, 43 individu telah disaring dengan 16 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“Di Kuala Lumpur, Kluster Tapak Bina Bulatan dikesan membabitkan daerah Cheras, Titiwangsa dan Lembah Pantai.

“Setakat ini Kluster Tapak Bina Bulatan sudah menjangkiti 163 individu selepas ujian saringan dibuat terhadap 319 individu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini terdapat 385 kluster termasuk empat kluster baharu yang dilaporkan hari ini.

Katanya, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah 198 termasuk lima yang tamat hari ini iaitu Kluster Fores, Aero, Sungei Way, Baki dan Seladah.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 187. Daripada jumlah tersebut, 49 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Bulatan (162 kes), Kluster Ria-30 (51 kes) dan Kluster Batu Tujuh (39 kes),” katanya. – Malaysiapost

Komen