Kerajaan perkukuh profesion teknikal bermula dari pendidikan – PM

Kerajaan perkukuh profesion teknikal bermula dari pendidikan – PM

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN bertekad memajukan dan memperkukuh profesion teknikal dengan memulakan langkah dari peringkat awal pendidikan bagi menjadikan Malaysia negara yang membangun secara mapan, seiring dengan pengagihan ekonomi adil, saksama dan inklusif.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan berusaha memperkukuh kualiti lulusan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Di peringkat lebih awal, pelajar sekolah dan belia perlu digalakkan untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka.

“Bukan sahaja demi memenuhi keperluan masa depan perindustrian negara, tetapi untuk melahirkan golongan profesion teknikal yang berdaya maju selari dengan perkembangan global terutama ledakan teknologi IR4.0.

“Peluang pekerjaan ditawarkan berkaitan jurusan STEM dan TVET sememangnya amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HTPN) 2020, hari ini.

Muhyiddin berkata, bidang teknikal terutama kejuruteraan sering dikaitkan dengan istilah 3D iaitu Dirty, Difficult & Dangerous yang secara langsung atau tidak langsung memberi persepsi negatif bagi pemilihan kerjaya dalam kalangan generasi baharu.

“Minat generasi baharu ini perlu dipupuk untuk menceburi bidang berkaitan teknikal. Trend masa depan menunjukkan bahawa bidang yang berkait dengan teknologi akan menjadi profesion berpermintaan tinggi.

“Penggunaan teknologi terkini pula akan mengubah imej 3D ini kepada imej berprestij kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran mendalam. 

“Pastinya mereka yang memilih bidang-bidang teknikal berteknologi tinggi ini akan menjadi rebutan di dalam pasaran pekerjaan di masa hadapan yang memberi pulangan yang besar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, hakikatnya hari ini Malaysia telah mempunyai banyak syarikat berasaskan teknologi bertaraf dunia seperti Petronas, UEM Group, Pharmaniaga Berhad, Telekom Malaysia, Celcom, Maxis dan banyak lagi, di mana majoritinya adalah warga profesional teknikal.

Katanya, ia adalah hasil perancangan teliti kerajaan semenjak berdekad untuk memastikan wujud tenaga kerja professional teknikal yang mahir dan berketerampilan. – Malaysiapost

Komen