PAS Perak tunggu keputusan PAS pusat

PAS Perak tunggu keputusan PAS pusat

PAS Perak masih menunggu keputusan pimpinan di peringkat pusat berhubung pembentukan kerajaan baharu di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata bahawa mandat yang diberikan kepada mereka sekarang adalah untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Memetik laporan Malaysiakini, Razman pada mulanya mengatakan bahawa keputusan kepimpinan adalah untuk menyokong kerajaan negeri yang dibina bersama antara Umno, Bersatu dan PAS.

“Keputusan oleh pucuk pimpinan bahawa kita kena menyokong kerajaan yang kita bina bersama. Dulu kita bina muafakat di antara PAS, Bersatu dan Umno.

“Dan kita menghadap tuanku (Sultan Nazrin Shah) dan tuanku menitah supaya kita menerima mana-mana calon yang dipilih.

“Jadi kita telah bersetuju mempertahankan kerajaan, kita akan pertahan kerajaan PN yang kita bersetuju bersama,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Razman bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang dilaporkan berkata PAS memutuskan untuk tidak bersama dalam gabungan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Kenyataan itu dikeluarkan Takiyuddin selepas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkirkan daripada jawatan menerusi usul undi percaya yang dibawa Umno.

Ketika undian itu dijalankan, Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan manakala 48 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lagi tidak menyokong beliau termasuk Adun Umno.

Ditanya mengenai keputusan PAS pusat itu, Razman berkata bahawa beliau tidak dapat menafsirkan mesej yang disampaikan itu.

“Yang itu saya tak boleh tafsir sendiri. Pada hakikat itu pandangan saya sendiri, arahan daripada pusat bahawa kita PN tetap daripada PN dan mungkin kalau ada gabungan (baru), wallah hualam, kita bincang pada masa depan.

“Setakat ini kita diberi mandat setakat mempertahankan kerajaan yang ada dan kerajaan yang ada telahpun jatuh. Pembinaan kerajaan baru kita serah kepada pucuk pimpinan,” katanya. – Malaysiapost

Komen