Tindakan ‘ustaz selebriti’ beri kesan negatif pada agamawan

Tindakan ‘ustaz selebriti’ beri kesan negatif pada agamawan

Aiman Hanif

USTAZ dan agamawan turut terpalit dengan pandangan serong masyarakat, serta defisit kepercayaan disebabkan tuduhan jenayah seksual membabitkan “ustaz selebriti”.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin, berkata oleh itu sudah tiba masanya pihak berkuasa Agama negara menghentikan program realiti agama di televisyen.

“Objektif utama menyertai program realiti agama adalah untuk mencari populariti dan cari makan, dengan popular mereka boleh meletak harga kerana gelaran, pada hal dari sudut ilmu, iman, amalan, pergaulan ramai yang jauh ke laut.”

“Apa yang telah dibuat tu (program realiti) maka hentikanlah! Kerana program ni bukan fokus kepada disiplin ilmu, iman, amal dan akhlak, tapi lebih fokus kepada popular. Banyak mudarat berbanding manfaat. Buat apa jika program realiti agama banyak mengundang fitnah terhadap agama dan umat Islam.

“Agama Islam tak boleh dibuat secara popular, kejar publisiti dan main-main, situasi ini menyebabkan orang ramai semakin tidak percaya dengan ustaz, jadi yang buruknya nama ustaz, agamawan dan institusi Islam itu sendiri,” katanya kepada Malaysiapost.

Sebelum ini, bekas peserta program Da’i Pendakwah Nusantara yang dikenali sebagai Da’i Syed membuat laporan polis susulan terdapat dakwaan bahawa dirinya merogol seorang gadis.

Satu laporan polis telah dibuat oleh Syed berhubung dakwaan tersebut di di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Ini berikutan seorang pemilik akaun laman Twitter membuat kenyataan bahawa rakannya mengalami trauma akibat menjadi mangsa rogol.

Menurut Syed atau nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, laporan polis itu untuk membersihkan namanya.

Bagaimanapun, dia kemudiannya ditahan pihak berkuasa selepas polis menerima banyak laporan berkait tuduhan rogol terhadapnya.

Sementara itu Zamihan berkata, jika ingin mendalami ilmu agama mereka perlu belajar dengan alim ulama secara “bertalaqqi” dan bukannya dengan menyertai program realiti TV.

Bagaimanapun Zamihan tidak menafikan ada segelintir peserta program realiti agama yang benar-benar berilmu.

“Jika nak belajar agama belajar dengan ulama, dari satu kitab ke satu kitab, beramal dengan ilmu, menjadi pendakwah yang berpegang teguh dengan disiplin ilmu, iman, amal dan akhlak yang mulia seperti baginda Rasul SAW,” katanya lagi.- Malaysiapost

Komen